Lagenda Bandung - kisah Sangkuriang

Tahukah anda bagaimana asal-usal wujudnya nama Tangkuban Perahu dan nama Bandung itu sendiri? Di sini disebutkan kisah legenda bagaimana nama gunung dan nama Bandung itu tercipta....berdasarkan kepada cerita legenda orang-orang Sunda...kisah asal-usal Bandung sungguh mempersonakan. Ianya seumpama sebuah cerita epik yang penuh dengan cinta, sedih, kesaktian  dan keajaiban yang luar biasa hebatnya...

Ringkasan cerita bermula begini...

Pada suatu zaman dahulu kala, terdapatlah sebuah kerajaan di satu tempat yang dipanggil Tanah Priangan. Di situ hiduplah sebuah keluarga. Di dalam keluarga tersebut ada tiga beranak iaitu suami, isteri dan seorang anak lelaki.

Tapi sayang kerana si bapa wujud dalam bentuk seekor anjing yang diberi nama Tumang, sang isterinya pula bernama Dayang Sumbi, manakala anak lelaki mereka bernama Sangkuriang. Tumang bukan sebarangan anjing kerana beliau sebenarnya adalah jelmaan dewa yang memiliki kekuatan sihir.

Pada suatu hari, sang ibu yang bernama Dayang Sumbi itu berhajat benar untuk memakan hati rusa lalu beliau telah meminta kepada anak lelakinya yang bernama Sangkuriang supaya pergi berburu di hutan yang terdekat untuk mendapatkan hati rusa.

Maka Sangkuriang pun pergilah berburu ke dalam hutan yang terdekat dengan ditemani oleh anjing kesayangannya yang bernama Tumang itu. Sangkuriang memang telah berusaha bersunguh-sungguh untuk mendapatkan hati rusa sepertimana yang di idamkan oleh ibunya.

Setelah berusaha bersungguh-sungguh dan seharian penuh di hutan itu, namun nasib Sangkurian nampaknya tidak begitu baik kerana beliau tidak berjumpa dengan seekor rusa pun. Oleh itu Sangkuriang pun mula risau dan bimbang kerana jika beliau pulang dengan tangan kosong bermakna hasrat ibunya tidak akan tercapai.

Maka Sangkuriang pun berfikirlah untuk mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan hati rusa.  Beliau mula berputus asa dan bimbang, lalu tanpa berfikir panjang, Sangkurinag telah memanah anjingnya sendiri yang bernama Tumang itu.

Hati Tumang dibawa pulang dan diberikan kepada ibunya sebagai hati rusa. Tidak berapa lama selepas itu, ibunya telah mengentahui bahawa hati yang dibawa pulang oleh anaknya itu bukanlah hati rusa sebaliknya adalah hati anjingnya si Tumang yang dibunuh oleh Sangkuriang.

Si ibu menjadi tersangat marah lalu dipukulnya kepada Sangkuriang sehingga terluka dan akibat luka itu terjadilah satu tanda atau parut. Setelah itu Sankuriang kemudian itu telah dibuang dari rumah dan telah pergi jauh dan berkelana di banyak tempat.

Hari berganti bulan, bulan berganti tahun maka hidup lah Sangkuriang berkelana. Pada suatu hari, di dalam perjalanannya itu entah macamana  dia telah sampai ke desa yang merupakan tempat tingalnya dahulu. Di situ Sangkuriang telah bertemu dengan seorang wanita yang cantik lalu jatuh cinta dan hiduplah kedua-duanya sebagai pasangan kekasih.

Sebenarnya wanita cantik itu adalah Dayang Sumbi iaitu ibu kepada Sangkuriang sendiri, tetapi pada masa itu mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain.

Pada suatu hari, Sangkuriang pun telah membicarakan tentang rancangan untuk pernikahan mereka berdua. Dayang Sumbi tiba-tiba seperti mengenali bahawa kekasihnya itu adalah Sangkuriang kerana tanda parut di dahinya adalah mirip benar dengan tanda parut anaknya dahulu. Maka Dayang Sumbi pun menyedari dan sahlah bahawa kekasihnya sekarang ialah rupa-rupanya anak beliau sendiri yang telah dihalaunya 20 tahun lepas.

Dayang Sumbi mula risau kerana tidak mungkin dia akan berkahwin dengan anaknya sendiri? Tetapi dalam masa yang sama Dayang Sumbi juga tidak mahu melukakan hati Sangkuriang. Oleh itu Dayang Sumbi telah mencari jalan bagaimana untuk membatalkan perkahwinan mereka.

Oleh itu Dayang Sumbi menyatakan kepada Sangkuriang bahawa beliau sudi berkahwin dengan Sangkuriang tetapi dengan satu syarat yang harus dipenuhi oleh Sangkuriang iaitu Sangkuriang mesti membuatkan sebuah danau/tasik dan sebuah perahu agar mereka dapat belayar di-saat matahari terbit pada hari perkahwinan mereka nanti. Danau dan perahu itu mestilah disiapkan dalam masa 1 hari.

Sangkuriang telah menerima syarat tersebut dan beliau telah bersungguh-sungguh telah membina sebuah perahu dan sebuah danau dengan cara membendung sungai ci tarum. Maka pekerjaan Sangkuriang untuk membuat perahu dan danau itu telah pun hampir siap.

Pada mulanya Dayang Sumbi berpandangan bahawa Sangkuriang tidak akan dapat mengerjakan syarat yang sangat berat dan mustahil seperti itu, jika itu berlaku maka terselamatlah daripada berkahwin dengan Sangkuriang. Namun begitu rupa-rupanya pandangan Dayang Sumbi telah meleset sama sekali di mana nampaknya Sangkuriang akan benar-benar dapat menunaikan syarat yang sangat berat itu.

Oleh kerana itu Dayang Sumbi harus melakukan sesuatu agar syarat yang diberikan kepada Sangkuriang itu tidak akan terpenuhi dan seterusnya mereka tidak boleh berkahwin. Dengan kekuatan kuasa saktinya, Dayang Sumbi telah menjadikan kaki langit bahagian timur dengan sinar iaitu sinar pagi. Oleh yang demikian, ayam pun berkokok dan petani-petani pula telah bersiap sedia untuk sebuah hari baru.

Dengan kekuatan kuasa saktinya itu, Dayang Sumbi telah berjaya memperdaya semua orang bahawa malam telah pun berlalu dan kini hari baru telah bermula. Maka, dengan pekerjaan yang belum selesai itu, Sangkuriang pun menyedari bahawa harapannya telah hancur berkecai.

Oleh kerana terlalu marah, maka ditendangnya perahu yang telah dia buat sendiri itu. Maka perahu itu pun jatuh dan terbalik dan dengan demikian perahu itu menjadi sebuah gunung. Gunung itu kemudiannya dinamakan Tangkuban Parahu (dalam bahasa Sunda, TANGKUBAN bererti terbalik, dan Parahu bermaksud perahu). Manakala  empangan yang dibinanya juga telah hancur lalu keringlah air danau tersebut lalu danau tersebut menjadi sebuah dataran yang sangat luas seterunya menjadi sebuah bandar yang disebut BANDUNG (Bandung berasal dari perkataan bendung, yang juga bermaksud empangan).

Begitulah kisahnya cerita lagenda Tangkuban Perahu dan kota Bandung yang sungguh menarik.  Benar atau tidaknya cerita tersebut tidaklah kami ketahui dengan pasti tetapi fakta geologi menunjukan bahawa dataran Bandung dahulunya adalah memang sebuah danau/tasik tetapi telah mengering semenjak 16,000 tahun dahulu. Oleh sebab itu kita dapati bahawa rupa bentuk muka bumi Bandung seakan-akan sebuah kawah yang besar.

Kunjungi kota Bandung untuk melihat sendiri gunung Tangkuban Perahu sepertimana yang terdapat dalam cerita lagenda itu. Anda tidak akan berjumpa dengan Sangkuriang atau Dayang Sumbi kerana kisah itu telah berlalu, tetapi anda pasti tertarik dengan udaranya yang nyaman dan suasananya yang mendamaikan. Bandung sediri pula tetap dikunjungi ramai sehingga sekarang - pastinya kalau anda ingin membeli belah!

Wassalam

Kembali ke artikel: Tempat-tempat menarik di Bandung

Add new comment

You must have JavaScript enabled to use this form.

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
To prevent automated spam submissions leave this field empty.