Harga Pakej Lawatan

Assalamualikum..

Saya tertarik untuk menulis berkenaan dengan harga pakej lawatan, ini kerana di pasaran ada pelbagai pakej dan harga juga ada yang berbeza di antara travel agensi dengan travel agensi yang lain. Untuk destinasi yang sama dan pakej yang lebih kurang sama, tetapi kita dapati pelbagai kadar harga yang ditetapkan oleh setiap travel agensi dan ini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Secara semulajadi, pengguna akan tertarik kepada pakej yang harganya nampak murah dan ianya adalah normal. Walaubagaimanapun, penguna tidak harus membuat keputusan hanya kepada faktor harga samata-mata kerana faktor harga adalah suatu perkara yang subjektif. Sebelum penguna membuat keputusan, ada beberapa perkara harus dikenalpasti terlebih dahulu. Di antara faktor-faktor tersebut ialah:

Apa yang termasuk di dalam pakej?

Jika anda mendapati harga yang agak murah, cuba tanyakan apakah yang termasuk di dalam pakej dan apa yang tidak termasuk. Jika ada perkara yang belum masuk ke dalam pakej, sudah tentu harga adalah murah. Antara perkara yang biasa tidak termasuk di dalam pakej ialah Tip Pemandu & Tip Pemandu Pelancong, kadang kala Kos Makan juga tidak termasuk di dalam pakej. Kalau pun termasuk kos makan, jumlah atau bilangan makan juga diambil kira. Misalnya bagi pakej 4 hari, 3 malam - ada sesetengah pakej mempunyai 3 kali sarapan, 3 kali makan tengahari dan 3 kali makan malam. Ada pula pakej lain mempunyai 3 kali sarapan, 4 kali makan tengahari dan 3 kali makan malam. Maka sudah tentu pakej yang mempunyai jumlah makan yang lebih harganya juga lebih mahal sedikit.

Kelas Hotel

Selain itu harga pakej juga bergantung kepada kelas hotel yang digunakan. Pakej lawatan yang mengunakan hotel bujet sudah tentu lebih murah berbanding dengan pakej lawatan yang mengunakan kelas hotel yang lebih tinggi misalnya hotel 3 bintang, 4 bintang atau 5 bintang.

Bilangan Peserta Sebilik

Ini juga boleh menentukan kadar harga pakej. Kebiasaanya jumlah peserta sebilik ialah 2 orang. Ada juga pakej yang mempunyai 3 orang sebilik atau 4 orang sebilik - ini sudah tentu kosnya lebih murah dan harga pakej juga lebih murah.

Waktu Ketibaan & Waktu Pulang

Ini juga boleh mempengaruhi harga pakej. Misalnya jika peserta datang pada hari pertama lewat petang dan waktu pulang hari terakhir pula ialah awal pagi - faktor ini akan mengurangkan kos seperti kos makan dan transport.

Bilangan Peserta

Bilangan peserta sangat mempengaruhi harga pakej. Jika peserta sedikit, maka kos adalah lebih besar. Sebagai contoh, 2 orang peserta akan mengunakan sebuah kereta dan 6 orang peserta juga akan mengunakan sebuah kereta. Kos purata untuk 2 orang peserta adalah lebih besar berbanding dengan kos purata 6 orang peserta.

Itinerary

Itinerary atau jadual lawatan juga boleh mempengaruhi harga pakej. Lagi banyak tempat lawatan, maka lagi tinggi kos seperti kos tiket kemasukan ke tampat lawatan dan faktor jarak perjalanan kenderaan dan sebagainya.

Sebagai kesimpulan, penguna seharusnya tidak terpengaruh hanya melihat kepada harga semata-mata. Jika anda mendapati harga yang agak murah, cuba tanyakan perkara-perkara di atas sebelum membuat keputusan.

Add new comment